Extraction adalah sebuah filem yang penuh dengan aksi-aksi yang menarik. Majoriti masa filem ini dipenuhi dengan aksi tembak-menembak, berlawan tanpa senjata, letupan dan kejar mengejar. Jika anda tidak meminati genre filem sebegini, malangnya filem ini bukan untuk anda. Biarpun boleh dikatakan hanya sebuah filem aksi dengan bajet pertengahan, ianya amat sesuai dengan tayangan di Netflix di mana filem ini boleh ditonton untuk mengisi kelapangan masa, tanpa perlu pergi ke pawagam.
Diarahkan oleh seorang muka baru dalam dunia arahan filem, Sam Hargrave adalah seorang pakar koordinasi aksi (stuntman) yang terlibat dalam aksi-aksi menarik dalam filem Captain America: Civil War dan Avengers: End Game. Beliau mempunyai minat amat mendalam dalam hasil kerja Jackie Chan dan filem-filem Hong Kong. Kepakarannya terserlah dalam filem Extraction di mana aksi-aksi yang dilakonkan amat realistik dan menghiburkan.
By far the most complicated action sequence I’ve ever been part of, and if it wasn’t already complex enough, our director decided to shoot it as a “oner” — almost 12 minutes long and it’s about as exhausting to watch as it was to film. Strap in folks! pic.twitter.com/zQZtzm7tRW— Chris Hemsworth (@chrishemsworth) April 14, 2020
Peminat filem aksi sememangnya tidak akan kecewa menonton filem ini. Tanpa perlu mengupas cerita karakter utama, Tyler Rake menghapuskan musuh dengan sedikit kata-kata.
![]() |
Chris Hemsworth sebagai Tyler Rake |
Penggambaran dibuat sekitar negara Bangladesh dan India, di mana Chris Hemsworth berlakon sebagai seorang askar upahan bernama Tyler Rake yang telah diupah untuk menyelamatkan anak seorang ketua pengedar dadah yang bernama Ovi (Rudhraksh Jaiswal). Bapa Ovi telah dipenjarakan, dan ini membuka peluang kepada musuh bapanya Amir yang berpusat di Bangladesh untuk menjalankan penculikan tersebut.
![]() |
Rudhraksh Jaiswal sebagai Ovi |
Tyler berjaya menyelamatkan Ovi dari kumpulan Amir. Ini membuatkan Amir marah, dan dia menyuruh tentera yang dimilikinya untuk mengepung seluruh bandar. Di sinilah bermula babak penuh keganasan. Kepakaran Sam Hargrave terserlah dalam pembikinan filem ini dan banyak babak single take atau rakaman panjang tanpa henti dilakukan.
Walaupun penuh aksi, satu perkara yang agak mengecewakan adalah watak hero Tyler Rake tidak diberi kesempatan untuk menonjolkan bakat personalitinya dalam lakonan ini. Kita tahu bahawa Hemsworth seorang pelakon berbakat dan pandai menonjolkan lakonan lucu dan spontan yang menghiburkan. Mungkin kerana terlalu banyak musuh untuk dilawan, kekuatan lakonan ini tidak digunakan sebaik mungkin.
Apa apa pun, peminat filem aksi tidak akan kecewa. Dengan keadaan sekarang di mana banyak filem keluaran tahun ini telah ditangguhkan, filem Extraction bakal mengisi masa tontonan anda dan memberi sedikit dos hiburan untuk mengubati kerinduan menonton filem di pawagam.
Extraction boleh ditonton melalui Netflix sekarang.
Extraction boleh ditonton melalui Netflix sekarang.
Ohhh jangan lupa like Wayang.my di Facebook!