Drama Crash Landing on You dan juga Memories of the Alhambra telah menguatkan posisi Hyun Bin sebagai antara pelakon terbaik di Korea Selatan. Beliau bukanlah nama baru dalam industri ini dan banyak filem-filem yang telah dilakonkannya sebelum ini telah berjaya memukau para peminat filem Korea.
Di sini kami senaraikan 3 filem yang berjaya menampilkan bakat lakonan terbaik Hyun Bin yang mesti ditonton.
Confidential Assignment
Confidential Assignment dikeluarkan pada tahun 2017. Selain Hyun Bin, pelakon lain dalam filem ini adalah Kim Joohyuk dan Yoo Haejin.
Dalam cerita ini, Im Cheolryung (Hyun Bin) berlakon sebagai tentera Korea Utara yang kematian isteri dalam satu serangan. Ketua kepada Im Cheolryung, iaitu Cha Kiseong adalah dalang kepada serangan tersebut untuk mencuri master plate yang digunakan untuk mencetak wang. Cha Kiseong melarikan diri ke Korea Selatan dan Im Cheolryung telah ditugaskan untuk menangkapnya dan membawa kembali master plate yang telah dicuri.
Setibanya di Korea Selatan, Im Cheolryung diletakkan di bawah jagaan Detective Kang Jintae (Yoo Hajin). Gandingan Hyun Bin dan Yoo Haejin amat baik dalam filem ini, dan mencapai keseimbangan lakonan yang lucu dan menarik. Hubungan mereka yang pada mulanya tidak baik berakhir dengan kerjasama untuk menangkap Cha Kiseong.
Rampant
Rampant adalah sebuah filem zombie yang dikeluarkan pada tahun 2018. Ia dilakonkan oleh pelakon utama Hyun Bin dan Jang Donggun.
Di era Joseon semasa di bawah pemerintahan Dinasti Qing dari China, Lee Chung (Hyun Bin) adalah seorang putera Joseon yang telah dijadikan tebusan oleh kerajaan Dinasti Qing. Selepas kematian abangnya, Lee Chung mesti kembali ke Joseon untuk menyelamatkan isteri abangnya yang sedang mengandung.
Setibanya di Joseon, Lee Chung mendapati keadaan telah berubah. Joseon kini diserang oleh zombie yang dinamakan Night Demons. Lee Chung perlu menyelamatkan Joseon dan terpaksa menaiki takhta untuk mencapai matlamat ini.
Lakonan Hyun Bin sebagai Putera Lee Chung dilihat sebagai sambil lewa pada mulanya. Setelah menyedari kepentingan tindakannya untuk menyelamatkan Joseon, Lee Chung telah berubah menjadi lebih bertanggungjawab.
The Negotiation
The Negotiation dikeluarkan pada tahun 2018. Hyun Bin berlakon sebagai watak jahat buat pertama kalinya dalam filem ini, bersama dengan Son Yejin.
Min Taegu (Hyun Bin) adalah seorang penjual senjata haram yang ingin membalas dendam atas kematian adik perempuannya.
Adiknya terbunuh dalam satu situasi tebusan di mana Min Taegu ingin membongkar kebenaran untuk menghukum dalang sebenar di sebalik kejadian itu. Min Taegu menculik ketua pegawai polis yang menjadi dalang kejadian dan telah meminta Ha Chaeyon (Son Yejin) iaitu orang bawahan polis itu untuk menjadi pakar perunding.
Situasi rundingan itu telah membongkarkan penglibatan banyak orang-orang atasan kerajaan dalam skandal yang besar.
Dalam filem ini, Min Taegu adalah seorang yang ganas dan menakutkan, tetapi mempunyai satu sudut yang mempersonakan. Biarpun sebagai watak jahat, kita dapat melihat bahawa tindakannya sebenarnya lahir dari rasa sayangnya kepada adik perempuannya.
Ohhh jangan lupa like Wayang.my di Facebook!